Pada penghujung tahun 1993, aku telah berhijrah ke kota metropolitan Kuala Lumpur dengan azam melanjutkan proses pembelajaran justeru berusaha mendapatkan sergulung ijazah di salah sebuah Institusi Pengajian Tinggi Awam Malaysia. Memang telah menjadi harapan dan cita-cita setiap ibu bapa mahu melihat anaknya berjaya lalu mengubah nasib keluarga ke taraf yang boleh dibanggakan. Keluargaku juga mempunyai aspirasi yang sama. Setelah melalui alam kampus, pergaulan di antara teman-teman seperjuangan dirasakan amat bernilai dalam menempuhi alam kedewasaan. Rakan-rakan yang berasal dari setiap pelosok tanahair memainkan peranan yang penting dalam menilai erti dan etika persahabatan yang sebenar. Langkah murni dalam menimba ilmu pengetahuanku terhenti apabila berkenalan dengan beberapa rakan sealiran yang nampaknya kurang berminat dalam pembelajaran. Kami lebih gemar membuang masa dengan melepak dan berbual-bual kosong. Perkenalanku dengan dunia penagihan dadah bermula pada suatu malam ketika kami berkumpul untuk sesi omongan kosong. Salah seorang sahabatku telah membuat segulung rokok daun untuk dihisap beramai-ramai. Aku pada usia ketika itu sememangnya jahil tentang jenis-jenis dadah dan pada malam tersebut aku telah mula diperkenalkan kepada dunia penagihan. Ganja merupakan jenis dadah yang pertama aku cuba. Aku merasa seronok dengan gaya dan cara hidup ini dan seolah-olahnya hidup di dunia ini tiada masalah. Aku alpa bahawa usia mudaku disia-siakan dan sebenarnya menuju ke arah kehancuran masa hadapan. Kemudian aku diperkenalkan kepada musuh nombor satu Malaysia, heroin. Kali pertama aku mencubanya, aku muntah dan merasa mual. Aku dapat rasakan yang sistem tubuh badanku mulai goyah. Faktor pemikiran, tingkah laku dan fizikalku mula berubah terhadap dadah heroin yang semakin hari semakin banyak kuantitinya ku ambil. Pada ketika itulah aku mula faham akan maksud gian. Seluruh badan dan sendi-sendiku merasa sakit. Mata dan hidung berair sekiranya aku tidak mendapat bekalan dadah yang secukupnya. Proses pembelajaranku terbengkalai di pertengahan jalan dan kesudahannya aku disingkirkan. Dengan itu bermulalah sebuah drama dan status seorang insan bergelar penagih dadah. Aku pun merempat dari satu tempat ke satu tempat. Membuat pelbagai jenis kerja termasuklah mencuri hanya untuk menampung kos menghisap dadahseharianku. Setiap kali aku melangkahkan kaki di atas muka bumi ini, dapatku rasakan bahawa bumi tidak menerima manusia yang sedemikian rupa sifatnya. Aku mula tertanya-tanya dimanakah silapnya selama ini sehinggakan aku terjebak ke dalam lembah kehinaan. Saban hari, saban minggu, saban bulan dan saban tahun silih berganti dan aku masih tidak berubah. Aku mula melarikan diri dari bertemu dengan sahabat-handai, saudara mara dan kaum keluargaku kerana aku malu dengan keadaan diriku yang kurus kering, wajah berkusut masai, serta berpakaian compang camping. Sewaktu senjakala aku sedar bahawa hidup ini memanglah pencarian diri yang kompleks, yang tersingkap oleh rentetan-rentetan kegawatan, kasih sayang, kemanusiaan serta ketuhanan. Sekali terjatuh dalam lembah kehinaan ini, tidak mungkin untuk bangun semula. Tiada siapa yang boleh membantuku melainkan diriku sendiri. Ini adalah suatu realiti yang mana setiap insan menagih tahu mengenainya. Aku kehilangan arah, tumpuan hidup dan gagal berperang dengan suasana. Akhirnya aku mendapati bahawa untuk pulih, aku perlukan satu impian yang realistik untuk dijadikan umpan hidup suci daridadah. Dan aku masih mencari-cari akan impian itu yang suatu masa dahulu pernah kukendung dengan baik, cermat dan rapat kedadaku. |
Thursday, 25 August 2011
KISAH SEORANG PENAGIH DADAH
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment